Friday, 13 February 2015

Nafkah Anak

Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan sebagaimana berikut :- "Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya"

Dapat difahami dalam seksyen di atas ialah, bapa kandung wajib menanggung nafkah anak samada anak tersebut dijaga olehnya atau oleh ibu anak tersebut dengan menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran (jika anak tersebut tinggal dengannya) atau dengan membayar kosnya (jika anak tersebut tinggal bersama ibu) berdasarkan kepada kemampuan bapa tersebut.
Ramai yang beranggapan apabila berlaku perceraian, nafkah anak ditanggung oleh pihak yang menjaga anak tersebut. Pada masa kini, banyak berlaku kecuaian/kegagalan seorang bapa untuk menanggung nafkah anak apabila anak tersebut berada di bawah jagaan ibu. Jika berlaku perkara sedemikian, para ibu perlu mendapatkan perintah nafkah anak di Mahkamah Rendah/Tinggi Syariah. Perlu diingat, TUNGGAKAN NAFKAH ANAK TIDAK BOLEH DITUNTUT JIKA TIADA PERINTAH DARI MAHKAMAH. Ianya berbeza dengan tunggakan nafkah isteri boleh dituntut biarpun tiada perintah Mahkamah.
Sekiranya telah wujud perintah Mahkamah, dan bapa anak tersebut gagal membayar nafkah anak, maka ibu kepada anak tersebut boleh menuntut tunggakan nafkah anak berdasarkan peruntukkan Seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.

BERAPA LAMA TEMPOH PERINTAH BAGI NAFKAH ANAK?
Seksyen 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan :-
 "Kecuali—
    (a) jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyata sebagai selama tempoh yang lebih singkat;
    (b) jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan; atau
    (c) jika sesuatu perintah itu dibuat untuk—
    (i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya; atau
    (ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya, 
perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi".

Perintah nafkah anak akan tamat apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun. Namun anak tersebut atau pihak lain seperti ibu kepada anak tersebut boleh memohon untuk melanjutkan perintah nafkah anak tersebut jika anak tersebut mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi. Contohnya anak tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat Kolej, Universiti dan sebagainya.

0 comments:

Post a Comment